Sunday, June 8, 2014

Halal @ Haram ...., Mengurus Krisis Keyakinan.

Salam perjuangan..., Halal @ Haram...., mengurus krisis keyakinan.. Saya pada mulanya tidak mahu mengulas panjang isu status Cadbury. Tetapi disebabkan apa yang berlaku sekarang lebih menimbulkan banyak persoalan dari jawapan.., saya akan mengulas isu ini dari perspektif 'pengurusan krisis'. Ada beberapa isu yang perlu kita fahami: 1. Status Ujian KKM 2. Status Ujian oleh Jabatan Kimia 3. Status JAKIM 4. Status DNA Babi dalam makanan. 5. Status Cadbury. Pertama status ujian KKM.., setakat ini belum ada mana-mana individu atau organisasi mencabar kesahihan ujian tersebut. Kesimpulan saya.., ujian tersebut benar dan DNA babi sememangnya di temui dalam sampel yang diambil dalam pasaran. Kedua.., status ujian oleh Jabatan Kimia. Berdasarkan kenyataan JAKIM, sampel yang diambil dari kilang bebas dari DNA Babi. Isu di sini adalah sampel diambil terus dari kilang dan selepas isu ini menjadi hangat. Kebarangkalian syarikat menukar formulasi adalah tinggi, kerana ia tidak dilakukan secara rawak. Ketiga.., status JAKIM. JAKIM adalah badan yang bertanggung jawab dalam Malaysia untuk persijilan HALAL. Persoalannya.., sejauh mana pemantauan dibuat selepas produk berada dalam pasaran. Setakat ini berapa produk yang telah ditarik balik sijil halal? Saya mengambil contoh Biro Farmaseutikal Kebangsaan (BFK) yang mengeluarkan N.O.T untuk produk kosmetik. Mereka mengadakan pemeriksaan secara rawak dan mengambil tindakan terhadap produk yang melanggar syarat N.O.T. apabila berada dalam pasaran. Keempat.., status DNA Babi dalam makanan. Saya tak mahu mengulas panjang dalam isu ini. Biarlah mereka yang ahli membahaskannya. Kita sebagai orang awam ambillah pandangan yang kita yakin dan paling kuat hujahnya. Bagi saya.., saya memilih pandangan yang mengatakan haram.., kerana kita masih mempunyai banyak pilihan lain. Kelima.., status Cadbury.. Ini yang saya nak ulas panjang sedikit dari sudut 'pengurusan krisis'... Kalu ada sesiapa yang kenal pengurusan Cadbury.., boleh panjangkan pandangan saya ini. Saya berpandangan..,sebagai syarikat Multinasional..., Cadbury Malaysia telah 'gagal' dalam pengurusan krisis. Kenapa saya berpandangan demikian? Jawapannya pada diri anda semua. Berapa orang yang sudah kembali yakin untuk memakan Cadbury? Saya tidak... Yang banyak bersuara adalah JAKIM dan Majlis Fatwa... Kenapa? Di mana suara Cadbury Malaysia? Apa yang sepatutnya Cadbury Malaysia lakukan? Kita perlu melihat punca isu dan mencari jawapan kepada punca isu. Dalam ilmu pengurusan ianya dipanggil Root Cause Analysis (RCA). Puncanya ialah keputusan ujian Makmal KKM. Itulah puncanya. Keputusan dan sampel yang diambil oleh KKM yang perlu dibahaskan.., bukannya dengan mengambil sampel lain di kilang dan ujian diadakan di makmal lain! Apa yang perlu dibahaskan....,??? 1. Adakah ujian Makmal KKM betul? Cadbury perlu membuktikan ujian Makmal KKM salah dan keputusan ujian adalah tidak tepat. Caranya adalah dengan mengambil sampel yang sama dan adakan ujian DNA Babi di Makmal Jabatan Kimia. Sekiranya ujian DNA Babi adalah negatif.., kes tutup dan produk Cadbury adalah bebas dari DNA Babi. Jika sebaliknya, maka Cadbury bertanggungjawab untuk mengadakan siasatan lanjutan. 2. Setiap produk ada rekod 'batch' pengilangan dan penghantaran. Maka Cadbury perlu melakukan siastan terperinci bermula dari pembelian bahan mentah sehinggalah produk berada di atas rak di kedai. Mereka perlu melakukan siasatan bagi meyakinkan kembali pengguna. Mereka perlu siasat semua bahan mentah yang telah digunakan bebas dari DNA Babi. Kadang-kadang mungkin pembekal bahan mentah telah melakukan penipuan. Sekiranya terdapat bahan mentah yang positif DNA Babi.., maka Cadbury perlu mengambil tindakan kepada pembekal tersebut dan mencari pembekal lain. Sekiranya negatif.., maka perlu dilihat peralatan yang digunakan. Apakah peralatan yang digunakan untuk produk Cadbury juga digunakan untuk membuat produk lain yang mengandungi DNA Babi. Kalau ini yang berlaku.., kemungkinan 'cross-contamination" adalah tinggi. Seterusnya jika semua itu adalah negatif.., proses seterusnya adalah penyimpanan dan penghantaran. Buka semula rekod dan siasat apakah produk yang di simpan dan dihantar bersama Cadbury bebas dari DNA Babi. Saya yakin Cadbury yang berstatus MNC mempunyai rekod yang kemas. Siasat.., akui kesilapan.., perbaiki kelemahan sekiranya ada. Kesimpulannya, sehingga hari ini Cadbury masih gagal meyakinkan saya dalam isu yang berlaku. Saya adalah antara penggemar cokelat Cadbury. Sehingga Cadbury dapat menjawab persoalan asas yang ditimbulkan dan menyelesaikan isu utama.., saya tidak akan menjamah produk Cadbury. Sekarang terpulang kepada Cadbury Malaysia untuk menggelak dari mencari jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan atau melakukan "business move" bagi mengembalikan keyakinan saya dan pengguna Islam yang lain. Zamakhshari Muhamad B.Sc Pharmaceutical Sci (UK), MBA, UUM

Sunday, September 19, 2010

JoM PuAsA EnAm SyaWaL

( dipetik dari Blog MSM UK & Eire )

Oleh: Dr. Ahmad Hassan

Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti penerimaan Ramadhan. Ini kerana Rasul saw bersabda:

“ Sesungguhnya setiap amalan perlu aktif dan setiap keaktifan adakalanya berlaku saat kemerosotan. Justeru barangsiapa semasa saat kemerosotannya kembali kepada sunnahku, maka dia memperolehi petunjuk tetapi barangsiapa semasa saat itu kembali kepada yang lainnya, maka ia pasti akan sesat”.

Wahai orang yang Allah berikan taufik kepadanya di bulan Ramadhan. Janganlah anda kembali kepada dosa-dosa yang anda lakukan sebelum Ramadhan seperti amalan mengumpat, mencerca, menipu, khianat dan sebagainya..kerana anda telah merasai kemanisan air mata dan kelazatan munajat yang merupakan saat yang paling bahagia bagi para hamba. Oleh itu janganlah anda tinggalkan kebahagiaan yang telah dinikmati itu. Begitu juga amalan qiam, puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan zikir.

Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan. Nabi saw telah menyatakan kepada umatnya tentang kelebihan puasa enam Syawal dan mendorong mereka dengan menggunakan teknik galakan supaya melaksanakan puasa 6 hari ini..sabda nabi saw:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Muslim dan lainnya)
Menurut Imam Nawawi: Para ulamak menyatakan: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.

Ibn Rejab menukilkan dari Ibn Mubarak katanya: Bagi yang berpuasa 6 Syawal secara berkesinambungan selepas puasa Ramadhan, maka dia wajib memperolehi pahala puasa sepanjang tahun. Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah. Bahkan ia seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan.

Al-Hafiz Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Orang yang menggantikan nikmat taufik puasa di bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat selepasnya, maka sebenarnya dia seperti orang menukarkan nikmat Allah dengan kekufuran. Ada yang mengatakan kepada Bisyr al-Hafiy: Suatu kaum yang beribadah dan bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan. Lalu Bisyr berkata: Seburuk-buruk suatu kaum ialah yang tidak mengenali Allah dengan sebenarnya kecuali di bulan Ramadhan sebaliknya orang soleh sentiasa beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun”.

Di antara hikmat puasa 6 Syawal

1. Puasa 6 Syawal selepas Ramadhan menyempurnakan pahala puasa sepanjang tahun bagi seorang muslim.

2. Puasa di bulan Syawal dan Syaaban sama seperti solat sunat dan solat rawatib sebelum atau selepas solat fardu yang berfungsi menampung segala kekurangan dan kecacatan dalam ibadah fardu, kerana ibadah fardu disempurnakan oleh ibadah nawafil di hari Kiamat. Bahkan ramai orang yang puasanya terdapat kekurangan dan kecacatan, maka ia perlukan amalan yang dapat menampung atau melengkapkan kekurangan itu.

3. Puasa Ramadhan mewajibkan seseorang memperolehi keampunan daripada dosa-dosa yang terdahulu. Oleh itu kembali berpuasa selepas Eidul Fitri sebagai tanda syukur kepada nikmat ini kerana tiada nikmat yang lebih besar daripada keampunan daripada dosa.
Allah telah memerintahkan hambaNya supaya mensyukuri nikmat puasa Ramadhan dengan sentiasa mengingatiNya, berzikir dan bermacam-macam cara bersyukur yang lain. Firman Allah:
“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah: 185)
Justeru tanda kesyukuran hamba kepada Allah di atas taufikNya dengan puasa Ramadhan, pertolongan dan keampunan daripada dosa ialah melaksanakan ibadah puasa sunat seterusnya.

4. Amalan-amalan yang mendekatkan seorang hamba dengan Allah pada bulan Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan, bahkan masih kekal selagi hamba itu hidup. Oleh itu berpuasa selepas Eidul Fitri menunjukkan kembalinya kepada keinginan untuk berpuasa. Baginya puasa tidak menjemukan dan membebankannya.
Permasalahan berkaitan puasa 6 Syawal

-Setengah orang berpendapat bahawa jika tahun ini mereka berpuasa 6 Syawal, maka mereka mesti berpuasa 6 Syawal pada setiap tahun. Pendapat ini tidak betul kerana ibadah ini adalah pilihan semata-mata sama ada mahu berpuasa tahun ini atau tidak pada tahun berikutnya. Bukanlah wajib berpuasa setiap tahun.
Marilah kita mengingati firman Allah:

“Dan bersegralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa ”. (Ali-Imran:133)

-Setengah orang berpendapat bila seseorang telah mula berpuasa 6 hari di bulan Syawal maka ia mestilah menyelesaikannya sekaligus dan tidak boleh berhenti atau terputus sehari atau dua hari sama ada atas sesuatu sebab atau sakit semsa puasa. Pendapat ini tidak betul kerana orang yang melakukan amalan sunat berhak ke atas dirinya. Ia boleh memutuskan puasanya pada bila-bila masa yang dia mahu berdasarkan sabda nabi saw:

الصائم المتطوع أمير نفسه، إن شاء صام وإن شاء أفطر
“Orang yang berpuasa sunat adalah ketua (berhak) ke atas dirinya dia boleh memilih sama ada mahu berpuasa atau berbuka (tidak berpuasa)”. (Tirmizi)

-Bagi orang yang mahu berpuasa 6 Syawal sepatutnya memulakan niat puasa pada malamnya, kerana puasa pada hari-hari yang khusus pada waktu yang terbatas mempunyai ganjaran yang khusus dan tidak sama seperti puasa sunat mutlak.

-Bagi sesiapa yang tertinggal puasa beberapa hari di bulan Ramadhan, maka ia mestilah mengqada’nya (menggantikannya) dahulu, kemudian barulah berpuasa 6 Syawal kerana puasa Ramadhan adalah ibadah fardu dan puasa 6 Syawal adalah sunat sahaja berdasarkan zahir hadith:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal..”. (Hadith)

Justeru itu, sebagai Ansarullah marilah kita berlumba-lumba untuk melakukan amalan yang akan mendekatkan kita kepada Allah.

Wednesday, July 22, 2009

UkHuWwAh DaN PeRjUaNgAn

Salam Perjuangan,

Al Imam Asy Syahid berkata:

"Yang saya maksudkan dengan ukhuwwah ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan Aqidah. Aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan bernilai. Ukhuwwah adalah saudara iman, sementara perpecahan pula adalah saudara Kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan dan tidak ada perpaduan tanpa kasih sayang. Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahteraan jiwa terhadap saudara seislam dan darjat yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain dari diri sendiri."

Ukhuwwah merupakan anugerah Allah kepada hambaNya yang ikhlas serta penolong dan tenteraNya yang membersihkan jiwa mereka untuk Allah. Firman Allah :

"Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para Mukmin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Al Anfal : 62-63

"Teman-teman akrab pada hariitu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang bertaqwa"
Al Zukhruf : 67

"Muhammad itu adalah utusan Allah dan sahabat-sahabat yang bersamanya bersifat keras terhadap orang kafir, berkasih sayang sesama mereka, kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda tersebut kelihatan pada muka mereka kesan dari sujud."
Al Fath : 29


Di MaNaKaH UkHuWwAh KiTa?

Sahabat yang dikasihi, itulah beberapa penegasan dari Pencipta kita, Tuan kita, Bos kita yang mana kita adalah hambaNya tentang ukhuwwah dan perjuangan. Walau apapun alasan kita, hujah kita, ilmu kita, kebijaksanaan kita dalam bacaan politik, banyaknya maklumat dalaman yang kita ada, hujung jatuhnya kita akan dipersoalkan dihadapan Allah ta'ala. Mungkin dengan manusia kita boleh bongkak merasakan kita hebat, kita yang paling sayangkan Islam dan jamaah, kita yang paling tinggi pengorbanannya, kita lebih tinggi kedudukan dalam jamaah, kita itu, kita ini, kitalah segala-galanya...., tetapi di sisi Allah ta'ala Pencipta kita... segalanya hampas.., kosong dan tiada nilai.

Apakah apabila kita melihat sahabat kita, jiwa kita merasa tenang? Atau jiwa kita merasa sakit? Apakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dan mengutamakan beliau dalam semua perkara? Atau kita labelkan "itu" dan "ini"? Bukankah Allah akan menyatukan hati-hati hambaNya yang ikhlas. Lantas apabila hati kita tidak bersatu, ada di kalangan kita yang mempunyai agenda peribadi..., ingin membina kepentingan diri? Apakah kerana ketiadaan Taqwa dalam jiwa kita menyebabkan sahabat seperjuangan dilihat sebagai musuh?

Mahu atau tidak kita akui, itulah realiti yang ada di hadapan kita. Rakan seperjuangan dianggap musuh, sehingga serangan kepada rakan seperjuangan lebih teruk dari serangan terhadap musuh. Kalau dengan musuh kita boleh berlapang dada, dengan teman-teman Pakatan kita boleh bertolak ansur, kenapa tidak dengan sahabat seperjuangan. Malah teramat malang kepada gerakan Islam dan perjuangan apabila Presiden dan Timbalan pun di anggap musuh. Kalau dengan DAP yang menolak Islam dan PKR yang liberal kita boleh bertahaluf, kenapa tidak sesama kita. Kalau kita berbeza dengan DAP dan PKR dari segi asas perjuangan tetapi kita boleh duduk semeja dan berlapang dada, kenapa tidak sesama kita yang melalui proses tarbiyyah yang sama cuma berbeza pendapat dari segi strategi politik. Amat sedih apabila kita hilang akhlak dan adab berjamaah dalam menangani kemelut ini...., bukan setakat ahli biasa..., malah mereka yang tergolong dalam pimpinan tertinggi.


KeMbALi KePaDa AsAs PeRjUaNgAn

Sahabatku, marilah kita kembali muhasabah diri kita. Apakah kita sudah lari dari landasan perjuangan? Apakah perjuangan kita yang sebenar? Apakah kayu ukur di sisi Allah ta'ala? Apakah kemenangan menjadi nilai di sisi Allah? Atau kesucian fikrah perjuangan menjadi taruhan kita? Apakah pahala orang yang membawa kemenangan lebih tinggi dari mereka yang mempertahan kesucian perjuangan? Apakah ertinya kemenangan sekiranya kita mempertahankan sistem jahiliyyah yang terpakai? Ingatlah sahabatku apa yang kita hendak dari perjuangan ini ada keredhaan Allah, bukan redha manusia. Kemelut yang timbul hari ini adalah disebabkan ada di kalangan kita merasakan kemenangan sudah hampir dan kita perlu berubah untuk mencapai kemenangan tersebut, sehingga mereka lupa kepada asas dan akhlak berjamaah. Saya bimbang jika golongan ini terus ghairah untuk mencapai kemenangan pilihanraya dengan mengabaikan akhlak dan adab berjamaah Allah akan menangguhkan kemenangan tersebut kerana kita belum bersedia untuk menerimanya. Ayuh..., rapatkan saf, eratkan ukhuwwah, berbaik sangka dan berlapang dada dengan pandangan yang berbeza. InsyaAllah kemenangan menjadi milik kita.

"Mempersada Perjuangan"
"Islam Memimpin Perubahan"

Sunday, October 12, 2008

KeCiL HaTi SaYa....


Salam Perjuangan,

Bertemu kembali..., sebenarnya dah lama nak menulis topik ni, tetapi masa tidak mengizinkan. Kesibukan di bulan Ramadhan dan juga Aidil Fitri, lebih-lebih lagi terpaksa mengadakan persiapan untuk BioMalaysia 2008 yang telah diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre dari 7-9hb Oktober yang lepas. Alhamdulillah semua persiapan berjalan dengan baik walaupun pada malam persidangan tersebut tersebut berjaga hingga pukul dua pagi untuk menyiapkan tugasan yang sangat penting, iaitu mendapatkan tandatangan Professor Tan Seri Dato Dzulkifli Abd Razak, Naib Canselor USM bagi menyempurnakan majlis pertukaran dokumen perjanjian antara USM dan Kerajaan Negeri Kelantan yang akan diadakan di hadapan Perdana Menteri semasa perasmian Persidangan BioMalaysia 2008.

KECIL HATI SAYA

Okay, saya sebenarnya tak bercadang nak bercerita panjang pasal BioMalaysia, Alhamdulillah ianya dah berakhir dan memberi impak yang besar kepada Kelantan Biotech Corp untuk terus mengatur langkah kehadapan selepas ini. Hari ini saya ingin menulis tentand “kecil hati”...... Dalam bulan Ramadhan yang lepas saya menerima panggilan telefon. “Assalamualaikum, ni pemuda Rantau Panjang ke?” “Ya” jawab saya ringkas. “Saya nak tanya pasal sumbangan zakat dari kerajaan, tak ada bahagian untuk saya ke?”. “Maaf, saya tak ada maklumat mengenai perkara tersebut” jawab saya kepada pemanggil tersebut. “Macam mana dengan Ladang Rakyat?” tanya pemuda tersebut lagi. “Itu bukan dibawah bidang kuasa pemuda, Ladang Rakyat di bawah MTD” saya memberi penjelasan. “Kecil hati saya......, orang yang tak buat kerja dapat..., saya yang selalu buat kerja tak dapat apa-apa”, rajuk pemuda tersebut. Dari cara percakapan beliau saya rasa saya kenal pemuda tersebut. Beliau seorang OKU, dan sememangnya dia seorang yang gigih dalam menjalankan kerja kepemudaan. Sekiranya saya mempunyai ruang saya akan berusaha supaya nama beliau disenaraikan sebagai peserta ladang rakyat. Tapi di sini bukan isu Ladang Rakyat, bukan juga isu zakat....., tetapi isu “kecil hati”.

Inilah ujian perjuangan. Inilah yang ditakuti oleh Rasulullah s.a.w., sebagaimana sabda Baginda:
“Demi Allah! Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka. Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.”

UJIAN KESENANGAN

Inilah ujian di hadapan kita, terutamanya pemuda Kelantan dan juga pemuda di mana PAS sudah memerintah. Kalau sebelum ini kita tak pernah tanya apa yang jamaah boleh berikan kepada kita, sebaliknya kita selalu bertanya apa yang boleh kita sumbangkan kepada jamaah. Kini suasananya sudah berubah. Itulah cabaran saya selaku Ketua Pemuda Rantau Panjang untuk memastikan pemuda-pemuda Rantau Panjang terdiri dari mereka yang berjuang dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. “Itu zaman kita kalah, lo ni kita menang kan? Takkan tak dok gian kito? Bakpo dok lok ko orang lainnyo?”, itu antara komen-komen yang kedengaran apabila perkara ini dibangkitkan.”Kita kena ikhlas berjuang tanpa mengharapkan apa-apa balasan, kalau sikit-sikit tu takpo la”, tambah seorang pemimpim pemuda negeri. “Berapa peruntukan? Kalau tak ada peruntukan, macam mana nak buat program?”, keluh pemuda yang lain. “Kito letih berjuang, orang lain dapat ghanimah....”, macam-macam lagi peristiwa dan kata-kata yang menyebabkan jiwa ini menangis.... merindui zaman kemanisan perjuangan semasa di PPP/ITM dan semasa bersama Hizbi UK di mana tahap keikhlasan dan pengorbanan sahabat-sahabat adalah sangat tinggi. Apakah kemanisan itu akan kembali? Atau ianya akan kembali setelah nikmat kemenangan ditarik balik? Nauzubillah. Sama-sama kita muhasabah.

TANDA DAN ALAMAT IKHLAS

Imam Hassan Al Bana menegaskan:

“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap Akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dariNya. Semua perkataan, amalan, dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan”

Di antara tanda dan alamat pejuang yang ikhlas ialah:

1. Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau menyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, dan jika manusia itu memiliki kemasyhuran di pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah taala, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengwal hati dari dimasuki oleh sifat megah dan takjub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan Allah atau kebaikannya tidak diterima.
3. Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Didalam jamaah beliau lebih suka menjadi tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namum ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.
4. Sama sahaja di sisi beliau bekerja sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat kepada dakwahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepimpinan. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dengan memohon pertolongan Allah dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini dalam sabdaNya: “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya dijalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau bertugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”
5. Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika di sebaliknya adalah kemurkaan Allah taala.
6. Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah taala, bukan kerana diri dan manfaatnya. Firman Allah taala: “Dan di antara mereka ada orang mencelamu tentang pembahagiaan zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadanya dengan serta merta mereka menjadi marah”. (At Taubah : 58)
7. Beliau tidak bersifat malas, lembab atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemengan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah taala dan mematuhi perintahNya.
8. Gembira dengan kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap orang yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila beliau melihat ada orang yang labih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirnya sendiri dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.

KESIMPULAN

Itulah beberapa tanda dan alamat pejuang yang ikhlas. Sahabatku...., marilah kita bermuhasabah, adakah kita telah 100% ikhlas kerana Allah taala. Atau masih ada 0.0001% kerana unsur lain..., pangkat, pujian, wanita, kedudukan, pengaruh, harta dll....? Janganlah nanti kita keletihan dan memdabik dada mengaku kitalah yang berjuang, kitalah yang paling tinggi tahap pengorbanannya, kitalah itu...., kitalah ini......., kitalah segala-galanya. Tetapi apabila berhadapan dengan Allah nanti semua amalan dan pengorbanan kita tidak diterimaNya kerana ada unsur lain dalam hati kita. Pastikan seluruh amalan kita semata-mata keranaNYA.
Wassalam. Selamat menyempurnakan Puasa Enam.

Salam Perjuangan.

Tuesday, September 30, 2008

EiD MuBaRak...


Salam Perjuangan,

Di kesempatan ini ana ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Aidil fitri kepada semua sahabat serta sahabiah seperjuangan. Moga Madrasah Ramadhan yang telah kita lalui berjaya mentarbiah kita menjadi lebih dekat dengan Allah. Didoakan juga agar kita mendapat kekuatan baru bagi meneruskan perjuangan kita menegakkan kalimah Allah. Semoga semua itu menjadi saham kita apabila berhadapan denganNya nanti.

Maaf Zahir & Batin

Zamakhshari Muhamad
Rantau Panjang

Thursday, September 18, 2008

MaSa UnTuK MeNyErTaI PaS


Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormat. Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela. Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.


Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung. PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.


Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas. PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:


� Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam,
� Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,
� Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS. Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.
Marilah bersama-sama menyertai PAS!


16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Sunday, September 14, 2008

PeMbUkA BiCaRa

Salam perjuangan,

Alhamdulillah akhirnya saya telah diberikan kekuatan dan kelapangan oleh Allah ta'ala untuk melakarkan bicara dalam blog ini. Dah berapa blog saya buka.... namum tidak berhasil. Mungkin tiada motivasi, dicampur dengan kesibukan masa dalam menjalankan amanah untuk memajukan Industri Bioteknologi di Kelantan melalui Kelantan Biotech Corporation sejak awal tahun 2008, serta kesibukan menguruskan NGO, Majlis Intelek & Graduan Kelantan (i-GRAD), lebih-lebih lagi menjalankan amanah yang hakiki selaku ketua pemuda PAS Kawasan Rantau Panjang. Sampai isteri pun dah tak menaruh harapan lagi blog ini akan terisi..., maklumlah dah hampir tiga tahun cuba berjinak dengan blog namun....tetap kosong tak berisi... Alhamdulillah dengan perkembangan semasa yang bercelaru dan keberkatan bulan Ramadhan, at last.... this is the beginning of new era....

Saya suka untuk mengulas isu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (UMNO)...., bukan..., saudara silap, saya bukan ingin mengulas samada kita perlu bersama pakatan rakyat atau BN, tetapi bagaimana pendirian kita dalam isu tersebut. Saya menulis bukan atas kapasiti kepimpinan tertingi..., because I am not one of them. Saya juga tidak menulis bagi pihak orang awam, because I am not one of them either. Tapi saya menulis selaku kepimpinan peringkat pertengahan, which I believe majority of us are. Kenapa tidak? Mursyidul Am sorang jah! Begitu juga Presiden! Majlis syura Ulama' hanya satu dalan jamaah! So, bicara saya lebih fokus kepada "perjuangan". Ditujukan kepada mereka yang mengaku "pejuang", mereka yang mengaku ahli jamaah dan mereka yang mengaku telah berbaiah kepada jamaah.

Firman Allah:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya. "
(Ali-Imran : 104)

Rasulullah SAW berpesan kepada Abu Huzaifah yang bermaksud,

“Hendaklah kamu berada bersama-sama jamaah Islam dan kepimpinan mereka.”

Persoalannya sekarang kenapa berkecamuk, pelbagai pandangan dan hujah yang diberikan. Sehinggakan kadang-kadang begitu mengguris hati-hati perjuang yang ikhlas, apabila pemimpin jamaah dihina dan dikeji, lebih malang lagi kejian tersebut dari mereka yang "mengaku" pejuang. Sebab itu disini saya ingin mengambil peluang untuk menyeru kita semua menghayati semula perkara asas perjuangan kita yang mungkin kita "terlupa" kerana terlalu ghairah untuk memerintah Malaysia. Perlu pejuang semua diingatkan kembali tentang kata-kata Saidina Umar al-Khattab,

“Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa taat”.

Islam meletakkan kepimpinan sebagai taklif (bebanan amanah) bukan tashrif (kemuliaan). Persoalannya sejauh manakah ketaatan kita? Apa yang kita faham tentang ketaatan? Dalam buku Risalah Ta'alim, pada Usul Kelima, Al Imam Asy Syahid Hassan Al Banna mengingatkan kita:

"Pendapat imam atau naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas, yang boleh menerima andaian berbagai segi dan yang berhubung dengan masoleh mursalah boleh diterima sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah syarak. Kadang-kadang ia berubah menurut keadaan, uruf dan adat. Asal pada ibadat adalah taabbud tanpa melihat kepada makna-makna. Dan asal pada adat ialah melihat kepada rahsia, hikmat dan tujuan."

Begitu juga pada usul kekesembilan belas,

"Boleh jadi perkara yang diteliti oleh pandangan syarak tidak termasuk ke dalam perkara yang diteliti oleh pandangan akal, begitu juga sebaliknya. Sungguhpun demikian pandangan syarak dan pandangan akal tidak bercanggah dalam perkara yang qat'i. Hakikat ilmiah yang sahih tidak bertentangan dengan kaedah syarak yang thabit. Perkara dzanni, dari kedua-duanya ditakwilkan agar bersesuaian dengan qat'i. Sekiranya pandangan syarak dan pandangan akal masih berada diperingkat dzan, maka pandangan syaraklah yang lebih utama untuk diterima, hinggalah pandangan akal dapat menthabitkan kebenarannya atau ia akan gugur dengan sendirinya"

Al Imam Asy Syahid Berkata:

"Taat yang saya maksudkan ialah: Mematuhi perintah dan melaksanakannya dengan segera, baik diwaktu senang dan susah, dalam perkara yang disukai dan dibenci"

" Yang saya maksudkan dengan Thiqah ialah keyakinan seorang jundi (pendakwah) terhadap Qiadah pada kemampuandan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan melahirkan perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan."

Apa yang kita perlu fikirkan bersama adalah sejauh mana keputusan yang diambil oleh Majlis syura dan tindakan yang diambil oleh Pimpinan tertinggi Jamaah? Apakah ianya bertentangan dengan Nas atau bertentangan dengan pandangan kita? Atau sekadar kita tidak tahu apa yang pimpinan kita sedang lakukan? Perlukah semua perkara didedahkan kepada kita? Kita tidak yakin dengan mereka? Sejauh manakah ilmu kita? Sejauh manakah maklumat dalaman yang kita ada? Adakah maklumat yang kita terima adalah tepat atau fitnah yang dibawa oleh orang fasik? Bukankah mereka yang terbaik di kalangan kita?


Saudaraku pejuang agama Allah, marilah sama-sama kita memberi kepercayaan kepada Kepimpinan yang terbaik di kalangan kita. Bantulah mereka dalam menjalankan amanah dan tanggung jawab mereka. Kita..... lagu mana? Kita teruskan dengan tugas dan tanggungjawab kita. Kerana apabila dibangkitkan di hadapan Rabbul Jalil nanti, kita akan dipersoalkan tentang apa yang kita lakukan bukannya apa yang orang lain lakukan....

Salam perjuangan...., PeRjUaNgaN PeRlU DiTeRuSkaN...