Sunday, October 12, 2008

KeCiL HaTi SaYa....


Salam Perjuangan,

Bertemu kembali..., sebenarnya dah lama nak menulis topik ni, tetapi masa tidak mengizinkan. Kesibukan di bulan Ramadhan dan juga Aidil Fitri, lebih-lebih lagi terpaksa mengadakan persiapan untuk BioMalaysia 2008 yang telah diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre dari 7-9hb Oktober yang lepas. Alhamdulillah semua persiapan berjalan dengan baik walaupun pada malam persidangan tersebut tersebut berjaga hingga pukul dua pagi untuk menyiapkan tugasan yang sangat penting, iaitu mendapatkan tandatangan Professor Tan Seri Dato Dzulkifli Abd Razak, Naib Canselor USM bagi menyempurnakan majlis pertukaran dokumen perjanjian antara USM dan Kerajaan Negeri Kelantan yang akan diadakan di hadapan Perdana Menteri semasa perasmian Persidangan BioMalaysia 2008.

KECIL HATI SAYA

Okay, saya sebenarnya tak bercadang nak bercerita panjang pasal BioMalaysia, Alhamdulillah ianya dah berakhir dan memberi impak yang besar kepada Kelantan Biotech Corp untuk terus mengatur langkah kehadapan selepas ini. Hari ini saya ingin menulis tentand “kecil hati”...... Dalam bulan Ramadhan yang lepas saya menerima panggilan telefon. “Assalamualaikum, ni pemuda Rantau Panjang ke?” “Ya” jawab saya ringkas. “Saya nak tanya pasal sumbangan zakat dari kerajaan, tak ada bahagian untuk saya ke?”. “Maaf, saya tak ada maklumat mengenai perkara tersebut” jawab saya kepada pemanggil tersebut. “Macam mana dengan Ladang Rakyat?” tanya pemuda tersebut lagi. “Itu bukan dibawah bidang kuasa pemuda, Ladang Rakyat di bawah MTD” saya memberi penjelasan. “Kecil hati saya......, orang yang tak buat kerja dapat..., saya yang selalu buat kerja tak dapat apa-apa”, rajuk pemuda tersebut. Dari cara percakapan beliau saya rasa saya kenal pemuda tersebut. Beliau seorang OKU, dan sememangnya dia seorang yang gigih dalam menjalankan kerja kepemudaan. Sekiranya saya mempunyai ruang saya akan berusaha supaya nama beliau disenaraikan sebagai peserta ladang rakyat. Tapi di sini bukan isu Ladang Rakyat, bukan juga isu zakat....., tetapi isu “kecil hati”.

Inilah ujian perjuangan. Inilah yang ditakuti oleh Rasulullah s.a.w., sebagaimana sabda Baginda:
“Demi Allah! Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka. Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.”

UJIAN KESENANGAN

Inilah ujian di hadapan kita, terutamanya pemuda Kelantan dan juga pemuda di mana PAS sudah memerintah. Kalau sebelum ini kita tak pernah tanya apa yang jamaah boleh berikan kepada kita, sebaliknya kita selalu bertanya apa yang boleh kita sumbangkan kepada jamaah. Kini suasananya sudah berubah. Itulah cabaran saya selaku Ketua Pemuda Rantau Panjang untuk memastikan pemuda-pemuda Rantau Panjang terdiri dari mereka yang berjuang dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. “Itu zaman kita kalah, lo ni kita menang kan? Takkan tak dok gian kito? Bakpo dok lok ko orang lainnyo?”, itu antara komen-komen yang kedengaran apabila perkara ini dibangkitkan.”Kita kena ikhlas berjuang tanpa mengharapkan apa-apa balasan, kalau sikit-sikit tu takpo la”, tambah seorang pemimpim pemuda negeri. “Berapa peruntukan? Kalau tak ada peruntukan, macam mana nak buat program?”, keluh pemuda yang lain. “Kito letih berjuang, orang lain dapat ghanimah....”, macam-macam lagi peristiwa dan kata-kata yang menyebabkan jiwa ini menangis.... merindui zaman kemanisan perjuangan semasa di PPP/ITM dan semasa bersama Hizbi UK di mana tahap keikhlasan dan pengorbanan sahabat-sahabat adalah sangat tinggi. Apakah kemanisan itu akan kembali? Atau ianya akan kembali setelah nikmat kemenangan ditarik balik? Nauzubillah. Sama-sama kita muhasabah.

TANDA DAN ALAMAT IKHLAS

Imam Hassan Al Bana menegaskan:

“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap Akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dariNya. Semua perkataan, amalan, dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan”

Di antara tanda dan alamat pejuang yang ikhlas ialah:

1. Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau menyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, dan jika manusia itu memiliki kemasyhuran di pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah taala, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengwal hati dari dimasuki oleh sifat megah dan takjub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan Allah atau kebaikannya tidak diterima.
3. Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Didalam jamaah beliau lebih suka menjadi tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namum ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.
4. Sama sahaja di sisi beliau bekerja sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat kepada dakwahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepimpinan. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dengan memohon pertolongan Allah dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini dalam sabdaNya: “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya dijalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau bertugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”
5. Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika di sebaliknya adalah kemurkaan Allah taala.
6. Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah taala, bukan kerana diri dan manfaatnya. Firman Allah taala: “Dan di antara mereka ada orang mencelamu tentang pembahagiaan zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadanya dengan serta merta mereka menjadi marah”. (At Taubah : 58)
7. Beliau tidak bersifat malas, lembab atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemengan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah taala dan mematuhi perintahNya.
8. Gembira dengan kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap orang yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila beliau melihat ada orang yang labih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirnya sendiri dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.

KESIMPULAN

Itulah beberapa tanda dan alamat pejuang yang ikhlas. Sahabatku...., marilah kita bermuhasabah, adakah kita telah 100% ikhlas kerana Allah taala. Atau masih ada 0.0001% kerana unsur lain..., pangkat, pujian, wanita, kedudukan, pengaruh, harta dll....? Janganlah nanti kita keletihan dan memdabik dada mengaku kitalah yang berjuang, kitalah yang paling tinggi tahap pengorbanannya, kitalah itu...., kitalah ini......., kitalah segala-galanya. Tetapi apabila berhadapan dengan Allah nanti semua amalan dan pengorbanan kita tidak diterimaNya kerana ada unsur lain dalam hati kita. Pastikan seluruh amalan kita semata-mata keranaNYA.
Wassalam. Selamat menyempurnakan Puasa Enam.

Salam Perjuangan.

Tuesday, September 30, 2008

EiD MuBaRak...


Salam Perjuangan,

Di kesempatan ini ana ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Aidil fitri kepada semua sahabat serta sahabiah seperjuangan. Moga Madrasah Ramadhan yang telah kita lalui berjaya mentarbiah kita menjadi lebih dekat dengan Allah. Didoakan juga agar kita mendapat kekuatan baru bagi meneruskan perjuangan kita menegakkan kalimah Allah. Semoga semua itu menjadi saham kita apabila berhadapan denganNya nanti.

Maaf Zahir & Batin

Zamakhshari Muhamad
Rantau Panjang

Thursday, September 18, 2008

MaSa UnTuK MeNyErTaI PaS


Umum mengetahui bahawa negara kita kini berada dalam suasana kegawatan ekonomi yang menekan rakyat yang sebahagiannya adalah hasil dari kalutnya kepimpinan negara dalam menguruskan polisi dan pelaksanaan pembangunan ekonomi negara.Suasana ini diburukkan lagi dengan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diterajui oleh Umno untuk memastikan suasana kestabilan politik dan keharmonian kaum yang terus dihormat. Umno yang satu ketika dahulu digambarkan sebagai lantang memperjuangkan nasib orang Melayu di awal penubuhannya, kini telah hilang taring dan gagal dalam memastikan maruah umat Islam dan orang Melayu terbela. Gambaran bahawa terjejasnya keharmonian kaum ini oleh pimpinan Umno seolah-olah hubungan kaum di Malaysia kini berada pada tahap yang paling rendah juga sebenarnya adalah cubaan Umno untuk mengalih masalah yang berlaku di kalangan parti komponen BN pada ketika ini.


Sehubungan itu, Parti Islam Se Malaysia (PAS) berpendapat bahawa sudah sampai masanya bagi umat Islam dalam negara kita ini untuk berhijrah kepada PAS dan seterusnya menjadikan PAS sebagai parti tempat bernaung. PAS adalah parti yang tidak diasaskan kepada prinsip perkauman atau asas perjuangan yang sempit, tetapi dibina di atas dasar memperjuangkan Islam dan keadilan yang lebih universal sifatnya, maka PAS percaya bahawa orang-orang Islam di Malaysia secara umumnya dan ahli-ahli Umno beserta pimpinannya secara khusus memerlukan satu wadah baru yang lebih konsisten dan mampu menjadi penyelamat yang akan memartabatkan maruah ummah.


Sebagaimana yang dipertegaskan oleh PAS dalam Muktamar PAS ke-54 yang lalu dengan tema "PAS UNTUK SEMUA", bahawa sebenarnya perjuangan PAS tetap kekal utuh dan bertahan sehingga ke hari ini kerana mempunyai tujuan penubuhannya yang berteraskan kepada akidah perjuangan yang jelas. PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah. Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat, sebagaimana yang termaktub dalam Bab Ketiga, Fasal 6, Perkara (8), (9) dan (10), Perlembagaan PAS di mana usaha-usaha PAS ialah:


� Memperjuangkan wujudnya kebudayaan negara berasaskan nilai-nilai yang tidak bercanggah dengan ajaran-ajaran Islam,
� Memperjuangkan hak dan kepentingan umat Islam di negara ini tanpa mengabaikan tanggungjawab melaksanakan keadilan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan tanggungjawab mewujudkan keharmonian antara kaum di dalam negara ini,
� Menyertai dan bekerjasama dengan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan-badan lain yang sah bagi mengekalkan keamanan dan menjamin hak-hak asasi manusia serta manghapuskan segala macam kezaliman, kepalsuan, perhambaan dan penindasan di kalangan umat manusia.

Bertitik tolak dari hakikat ini, maka PAS sudah lama bersedia untuk mengisi kekosongan politik yang ditinggalkan oleh Umno ini. PAS percaya bahawa ahli-ahli dan pimpinan Umno ini boleh memberi sumbangan tenaga mereka menerusi PAS. Marilah bersama-sama kita bina wadah PAS ini supaya menjadi lebih kuat dan mampu berdepan dengan pelbagai cabaran yang mendatang.
Marilah bersama-sama menyertai PAS!


16 September 2008/ 16 Ramadhan 1429

DATO' SERI TUAN GURU HJ ABD. HADI AWANG
Presiden, Parti Islam Se Malaysia (PAS)

Sunday, September 14, 2008

PeMbUkA BiCaRa

Salam perjuangan,

Alhamdulillah akhirnya saya telah diberikan kekuatan dan kelapangan oleh Allah ta'ala untuk melakarkan bicara dalam blog ini. Dah berapa blog saya buka.... namum tidak berhasil. Mungkin tiada motivasi, dicampur dengan kesibukan masa dalam menjalankan amanah untuk memajukan Industri Bioteknologi di Kelantan melalui Kelantan Biotech Corporation sejak awal tahun 2008, serta kesibukan menguruskan NGO, Majlis Intelek & Graduan Kelantan (i-GRAD), lebih-lebih lagi menjalankan amanah yang hakiki selaku ketua pemuda PAS Kawasan Rantau Panjang. Sampai isteri pun dah tak menaruh harapan lagi blog ini akan terisi..., maklumlah dah hampir tiga tahun cuba berjinak dengan blog namun....tetap kosong tak berisi... Alhamdulillah dengan perkembangan semasa yang bercelaru dan keberkatan bulan Ramadhan, at last.... this is the beginning of new era....

Saya suka untuk mengulas isu Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (UMNO)...., bukan..., saudara silap, saya bukan ingin mengulas samada kita perlu bersama pakatan rakyat atau BN, tetapi bagaimana pendirian kita dalam isu tersebut. Saya menulis bukan atas kapasiti kepimpinan tertingi..., because I am not one of them. Saya juga tidak menulis bagi pihak orang awam, because I am not one of them either. Tapi saya menulis selaku kepimpinan peringkat pertengahan, which I believe majority of us are. Kenapa tidak? Mursyidul Am sorang jah! Begitu juga Presiden! Majlis syura Ulama' hanya satu dalan jamaah! So, bicara saya lebih fokus kepada "perjuangan". Ditujukan kepada mereka yang mengaku "pejuang", mereka yang mengaku ahli jamaah dan mereka yang mengaku telah berbaiah kepada jamaah.

Firman Allah:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu kumpulan yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya. "
(Ali-Imran : 104)

Rasulullah SAW berpesan kepada Abu Huzaifah yang bermaksud,

“Hendaklah kamu berada bersama-sama jamaah Islam dan kepimpinan mereka.”

Persoalannya sekarang kenapa berkecamuk, pelbagai pandangan dan hujah yang diberikan. Sehinggakan kadang-kadang begitu mengguris hati-hati perjuang yang ikhlas, apabila pemimpin jamaah dihina dan dikeji, lebih malang lagi kejian tersebut dari mereka yang "mengaku" pejuang. Sebab itu disini saya ingin mengambil peluang untuk menyeru kita semua menghayati semula perkara asas perjuangan kita yang mungkin kita "terlupa" kerana terlalu ghairah untuk memerintah Malaysia. Perlu pejuang semua diingatkan kembali tentang kata-kata Saidina Umar al-Khattab,

“Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa taat”.

Islam meletakkan kepimpinan sebagai taklif (bebanan amanah) bukan tashrif (kemuliaan). Persoalannya sejauh manakah ketaatan kita? Apa yang kita faham tentang ketaatan? Dalam buku Risalah Ta'alim, pada Usul Kelima, Al Imam Asy Syahid Hassan Al Banna mengingatkan kita:

"Pendapat imam atau naibnya dalam perkara-perkara yang tidak ada nas, yang boleh menerima andaian berbagai segi dan yang berhubung dengan masoleh mursalah boleh diterima sekiranya tidak bertentangan dengan kaedah syarak. Kadang-kadang ia berubah menurut keadaan, uruf dan adat. Asal pada ibadat adalah taabbud tanpa melihat kepada makna-makna. Dan asal pada adat ialah melihat kepada rahsia, hikmat dan tujuan."

Begitu juga pada usul kekesembilan belas,

"Boleh jadi perkara yang diteliti oleh pandangan syarak tidak termasuk ke dalam perkara yang diteliti oleh pandangan akal, begitu juga sebaliknya. Sungguhpun demikian pandangan syarak dan pandangan akal tidak bercanggah dalam perkara yang qat'i. Hakikat ilmiah yang sahih tidak bertentangan dengan kaedah syarak yang thabit. Perkara dzanni, dari kedua-duanya ditakwilkan agar bersesuaian dengan qat'i. Sekiranya pandangan syarak dan pandangan akal masih berada diperingkat dzan, maka pandangan syaraklah yang lebih utama untuk diterima, hinggalah pandangan akal dapat menthabitkan kebenarannya atau ia akan gugur dengan sendirinya"

Al Imam Asy Syahid Berkata:

"Taat yang saya maksudkan ialah: Mematuhi perintah dan melaksanakannya dengan segera, baik diwaktu senang dan susah, dalam perkara yang disukai dan dibenci"

" Yang saya maksudkan dengan Thiqah ialah keyakinan seorang jundi (pendakwah) terhadap Qiadah pada kemampuandan keikhlasannya, dengan keyakinan yang mendalam sehingga akan melahirkan perasaan kasih, penghargaan, penghormatan dan ketaatan."

Apa yang kita perlu fikirkan bersama adalah sejauh mana keputusan yang diambil oleh Majlis syura dan tindakan yang diambil oleh Pimpinan tertinggi Jamaah? Apakah ianya bertentangan dengan Nas atau bertentangan dengan pandangan kita? Atau sekadar kita tidak tahu apa yang pimpinan kita sedang lakukan? Perlukah semua perkara didedahkan kepada kita? Kita tidak yakin dengan mereka? Sejauh manakah ilmu kita? Sejauh manakah maklumat dalaman yang kita ada? Adakah maklumat yang kita terima adalah tepat atau fitnah yang dibawa oleh orang fasik? Bukankah mereka yang terbaik di kalangan kita?


Saudaraku pejuang agama Allah, marilah sama-sama kita memberi kepercayaan kepada Kepimpinan yang terbaik di kalangan kita. Bantulah mereka dalam menjalankan amanah dan tanggung jawab mereka. Kita..... lagu mana? Kita teruskan dengan tugas dan tanggungjawab kita. Kerana apabila dibangkitkan di hadapan Rabbul Jalil nanti, kita akan dipersoalkan tentang apa yang kita lakukan bukannya apa yang orang lain lakukan....

Salam perjuangan...., PeRjUaNgaN PeRlU DiTeRuSkaN...