Wednesday, July 22, 2009

UkHuWwAh DaN PeRjUaNgAn

Salam Perjuangan,

Al Imam Asy Syahid berkata:

"Yang saya maksudkan dengan ukhuwwah ialah hati dan jiwa terikat dengan ikatan Aqidah. Aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan bernilai. Ukhuwwah adalah saudara iman, sementara perpecahan pula adalah saudara Kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan dan tidak ada perpaduan tanpa kasih sayang. Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah kesejahteraan jiwa terhadap saudara seislam dan darjat yang paling tinggi ialah mengutamakan orang lain dari diri sendiri."

Ukhuwwah merupakan anugerah Allah kepada hambaNya yang ikhlas serta penolong dan tenteraNya yang membersihkan jiwa mereka untuk Allah. Firman Allah :

"Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolonganNya dan dengan para Mukmin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
Al Anfal : 62-63

"Teman-teman akrab pada hariitu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang bertaqwa"
Al Zukhruf : 67

"Muhammad itu adalah utusan Allah dan sahabat-sahabat yang bersamanya bersifat keras terhadap orang kafir, berkasih sayang sesama mereka, kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda tersebut kelihatan pada muka mereka kesan dari sujud."
Al Fath : 29


Di MaNaKaH UkHuWwAh KiTa?

Sahabat yang dikasihi, itulah beberapa penegasan dari Pencipta kita, Tuan kita, Bos kita yang mana kita adalah hambaNya tentang ukhuwwah dan perjuangan. Walau apapun alasan kita, hujah kita, ilmu kita, kebijaksanaan kita dalam bacaan politik, banyaknya maklumat dalaman yang kita ada, hujung jatuhnya kita akan dipersoalkan dihadapan Allah ta'ala. Mungkin dengan manusia kita boleh bongkak merasakan kita hebat, kita yang paling sayangkan Islam dan jamaah, kita yang paling tinggi pengorbanannya, kita lebih tinggi kedudukan dalam jamaah, kita itu, kita ini, kitalah segala-galanya...., tetapi di sisi Allah ta'ala Pencipta kita... segalanya hampas.., kosong dan tiada nilai.

Apakah apabila kita melihat sahabat kita, jiwa kita merasa tenang? Atau jiwa kita merasa sakit? Apakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dan mengutamakan beliau dalam semua perkara? Atau kita labelkan "itu" dan "ini"? Bukankah Allah akan menyatukan hati-hati hambaNya yang ikhlas. Lantas apabila hati kita tidak bersatu, ada di kalangan kita yang mempunyai agenda peribadi..., ingin membina kepentingan diri? Apakah kerana ketiadaan Taqwa dalam jiwa kita menyebabkan sahabat seperjuangan dilihat sebagai musuh?

Mahu atau tidak kita akui, itulah realiti yang ada di hadapan kita. Rakan seperjuangan dianggap musuh, sehingga serangan kepada rakan seperjuangan lebih teruk dari serangan terhadap musuh. Kalau dengan musuh kita boleh berlapang dada, dengan teman-teman Pakatan kita boleh bertolak ansur, kenapa tidak dengan sahabat seperjuangan. Malah teramat malang kepada gerakan Islam dan perjuangan apabila Presiden dan Timbalan pun di anggap musuh. Kalau dengan DAP yang menolak Islam dan PKR yang liberal kita boleh bertahaluf, kenapa tidak sesama kita. Kalau kita berbeza dengan DAP dan PKR dari segi asas perjuangan tetapi kita boleh duduk semeja dan berlapang dada, kenapa tidak sesama kita yang melalui proses tarbiyyah yang sama cuma berbeza pendapat dari segi strategi politik. Amat sedih apabila kita hilang akhlak dan adab berjamaah dalam menangani kemelut ini...., bukan setakat ahli biasa..., malah mereka yang tergolong dalam pimpinan tertinggi.


KeMbALi KePaDa AsAs PeRjUaNgAn

Sahabatku, marilah kita kembali muhasabah diri kita. Apakah kita sudah lari dari landasan perjuangan? Apakah perjuangan kita yang sebenar? Apakah kayu ukur di sisi Allah ta'ala? Apakah kemenangan menjadi nilai di sisi Allah? Atau kesucian fikrah perjuangan menjadi taruhan kita? Apakah pahala orang yang membawa kemenangan lebih tinggi dari mereka yang mempertahan kesucian perjuangan? Apakah ertinya kemenangan sekiranya kita mempertahankan sistem jahiliyyah yang terpakai? Ingatlah sahabatku apa yang kita hendak dari perjuangan ini ada keredhaan Allah, bukan redha manusia. Kemelut yang timbul hari ini adalah disebabkan ada di kalangan kita merasakan kemenangan sudah hampir dan kita perlu berubah untuk mencapai kemenangan tersebut, sehingga mereka lupa kepada asas dan akhlak berjamaah. Saya bimbang jika golongan ini terus ghairah untuk mencapai kemenangan pilihanraya dengan mengabaikan akhlak dan adab berjamaah Allah akan menangguhkan kemenangan tersebut kerana kita belum bersedia untuk menerimanya. Ayuh..., rapatkan saf, eratkan ukhuwwah, berbaik sangka dan berlapang dada dengan pandangan yang berbeza. InsyaAllah kemenangan menjadi milik kita.

"Mempersada Perjuangan"
"Islam Memimpin Perubahan"