Sunday, October 12, 2008

KeCiL HaTi SaYa....


Salam Perjuangan,

Bertemu kembali..., sebenarnya dah lama nak menulis topik ni, tetapi masa tidak mengizinkan. Kesibukan di bulan Ramadhan dan juga Aidil Fitri, lebih-lebih lagi terpaksa mengadakan persiapan untuk BioMalaysia 2008 yang telah diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre dari 7-9hb Oktober yang lepas. Alhamdulillah semua persiapan berjalan dengan baik walaupun pada malam persidangan tersebut tersebut berjaga hingga pukul dua pagi untuk menyiapkan tugasan yang sangat penting, iaitu mendapatkan tandatangan Professor Tan Seri Dato Dzulkifli Abd Razak, Naib Canselor USM bagi menyempurnakan majlis pertukaran dokumen perjanjian antara USM dan Kerajaan Negeri Kelantan yang akan diadakan di hadapan Perdana Menteri semasa perasmian Persidangan BioMalaysia 2008.

KECIL HATI SAYA

Okay, saya sebenarnya tak bercadang nak bercerita panjang pasal BioMalaysia, Alhamdulillah ianya dah berakhir dan memberi impak yang besar kepada Kelantan Biotech Corp untuk terus mengatur langkah kehadapan selepas ini. Hari ini saya ingin menulis tentand “kecil hati”...... Dalam bulan Ramadhan yang lepas saya menerima panggilan telefon. “Assalamualaikum, ni pemuda Rantau Panjang ke?” “Ya” jawab saya ringkas. “Saya nak tanya pasal sumbangan zakat dari kerajaan, tak ada bahagian untuk saya ke?”. “Maaf, saya tak ada maklumat mengenai perkara tersebut” jawab saya kepada pemanggil tersebut. “Macam mana dengan Ladang Rakyat?” tanya pemuda tersebut lagi. “Itu bukan dibawah bidang kuasa pemuda, Ladang Rakyat di bawah MTD” saya memberi penjelasan. “Kecil hati saya......, orang yang tak buat kerja dapat..., saya yang selalu buat kerja tak dapat apa-apa”, rajuk pemuda tersebut. Dari cara percakapan beliau saya rasa saya kenal pemuda tersebut. Beliau seorang OKU, dan sememangnya dia seorang yang gigih dalam menjalankan kerja kepemudaan. Sekiranya saya mempunyai ruang saya akan berusaha supaya nama beliau disenaraikan sebagai peserta ladang rakyat. Tapi di sini bukan isu Ladang Rakyat, bukan juga isu zakat....., tetapi isu “kecil hati”.

Inilah ujian perjuangan. Inilah yang ditakuti oleh Rasulullah s.a.w., sebagaimana sabda Baginda:
“Demi Allah! Aku tidak takut kefakiran menimpa kamu semua akan tetapi aku amat takut apabila dunia dihampar di hadapan kamu (diberikan kemudahan memiliki nikmat dunia) sebagaimana yang telah diberikan kepada mereka sebelum kamu lalu kamu berlumba-lumba untuk memilikinya sebagaimana mereka. Dunia itu akan menghancurkan kamu sebagaimana ia menghancurkan mereka.”

UJIAN KESENANGAN

Inilah ujian di hadapan kita, terutamanya pemuda Kelantan dan juga pemuda di mana PAS sudah memerintah. Kalau sebelum ini kita tak pernah tanya apa yang jamaah boleh berikan kepada kita, sebaliknya kita selalu bertanya apa yang boleh kita sumbangkan kepada jamaah. Kini suasananya sudah berubah. Itulah cabaran saya selaku Ketua Pemuda Rantau Panjang untuk memastikan pemuda-pemuda Rantau Panjang terdiri dari mereka yang berjuang dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. “Itu zaman kita kalah, lo ni kita menang kan? Takkan tak dok gian kito? Bakpo dok lok ko orang lainnyo?”, itu antara komen-komen yang kedengaran apabila perkara ini dibangkitkan.”Kita kena ikhlas berjuang tanpa mengharapkan apa-apa balasan, kalau sikit-sikit tu takpo la”, tambah seorang pemimpim pemuda negeri. “Berapa peruntukan? Kalau tak ada peruntukan, macam mana nak buat program?”, keluh pemuda yang lain. “Kito letih berjuang, orang lain dapat ghanimah....”, macam-macam lagi peristiwa dan kata-kata yang menyebabkan jiwa ini menangis.... merindui zaman kemanisan perjuangan semasa di PPP/ITM dan semasa bersama Hizbi UK di mana tahap keikhlasan dan pengorbanan sahabat-sahabat adalah sangat tinggi. Apakah kemanisan itu akan kembali? Atau ianya akan kembali setelah nikmat kemenangan ditarik balik? Nauzubillah. Sama-sama kita muhasabah.

TANDA DAN ALAMAT IKHLAS

Imam Hassan Al Bana menegaskan:

“Yang saya maksudkan dengan ikhlas ialah setiap Akh Muslim mestilah mengharapkan keredhaan Allah dan ganjaran pahala dariNya. Semua perkataan, amalan, dan jihad tidak memandang kepada sebarang keuntungan, kemegahan, gelaran, kedudukan terkemuka atau mundur. Dengan itu beliau menjadi tentera fikrah dan aqidah, bukan tentera yang mengejar sesuatu atau kepentingan”

Di antara tanda dan alamat pejuang yang ikhlas ialah:

1. Beliau takutkan kemasyhuran dan sanjungan yang boleh membawa fitnah kepada diri dan agamanya. Lebih-lebih lagi jika beliau seorang yang berkebolehan. Beliau menyakini bahawa Allah menerima sesuatu berdasarkan batin bukannya zahir, dan jika manusia itu memiliki kemasyhuran di pelusuk dunia sekalipun, sedangkan niatnya bercampur baur, maka ia tidak memberi apa-apa makna.
2. Orang yang ikhlas sentiasa menganggap dirinya cuai terhadap Allah taala, lalai dalam melaksanakan ibadat, tidak dapat mengwal hati dari dimasuki oleh sifat megah dan takjub dengan diri sendiri. Bahkan beliau merasa takut kalau-kalau dosanya tidak diampunkan Allah atau kebaikannya tidak diterima.
3. Beliau lebih suka melakukan amalan kebaikan secara tersembunyi dari amalan yang dipenuhi dengan iklan dan irama paluan kemasyhuran. Didalam jamaah beliau lebih suka menjadi tunjang pokok. Walaupun tunjang tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat mata, namum ia adalah asas untuk pokok itu tegak dan hidup.
4. Sama sahaja di sisi beliau bekerja sebagai pemimpin atau tentera, selagi mana kedua-duanya adalah berkhidmat kepada dakwahnya. Hatinya tidak dapat dikuasai untuk muncul ke depan, berada di barisan hadapan, mahu menjadi pemimpin dan menjawat bahagian kepimpinan. Tetapi jika beliau dibebankan dengan tugas tersebut, beliau memikulnya dengan memohon pertolongan Allah dalam melaksanakannya. Rasulullah saw menyifatkan golongan ini dalam sabdaNya: “Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kekang kudanya dijalan Allah dalam keadaan rambutnya kusut dan kakinya berdebu. Sekiranya beliau bertugas sebagai pengawal, beliau menjadi pengawal. Dan jika sekiranya beliau berada di belakang, beliau berada di belakang.”
5. Tidak menghiraukan keredhaan manusia jika di sebaliknya adalah kemurkaan Allah taala.
6. Hendaklah cinta dan benci, memberi dan menahan, redha dan marah, semuanya kerana Allah taala, bukan kerana diri dan manfaatnya. Firman Allah taala: “Dan di antara mereka ada orang mencelamu tentang pembahagiaan zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadanya dengan serta merta mereka menjadi marah”. (At Taubah : 58)
7. Beliau tidak bersifat malas, lembab atau ketinggalan kerana perjalanan yang jauh, buah yang dapat dipetik, lambat mendapat kejayaan dan penat bekerja dalam menghadapi manusia yang bermacam ragam. Beliau tidak bekerja untuk berjaya atau mencapai kemengan semata-mata, bahkan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah taala dan mematuhi perintahNya.
8. Gembira dengan kemunculan orang yang mempunyai kelayakan dalam barisan orang-orang yang bekerja untuk membawa panji-panji, memberi saham kepada amal dan memberi peluang kepada setiap orang yang berkebolehan menggantikan tempatnya tanpa cuba menyekat dan menghalangnya, atau menghina dan marah kepadanya. Bahkan kita melihat bahawa orang yang ikhlas itu, apabila beliau melihat ada orang yang labih baik darinya dalam memikul tugas, beliau mengundur diri dalam keadaan redha. Beliau akan mengutamakan orang itu dari dirnya sendiri dalam keadaan taat dan bahagia kerana beliau mengundur setapak ke belakang.

KESIMPULAN

Itulah beberapa tanda dan alamat pejuang yang ikhlas. Sahabatku...., marilah kita bermuhasabah, adakah kita telah 100% ikhlas kerana Allah taala. Atau masih ada 0.0001% kerana unsur lain..., pangkat, pujian, wanita, kedudukan, pengaruh, harta dll....? Janganlah nanti kita keletihan dan memdabik dada mengaku kitalah yang berjuang, kitalah yang paling tinggi tahap pengorbanannya, kitalah itu...., kitalah ini......., kitalah segala-galanya. Tetapi apabila berhadapan dengan Allah nanti semua amalan dan pengorbanan kita tidak diterimaNya kerana ada unsur lain dalam hati kita. Pastikan seluruh amalan kita semata-mata keranaNYA.
Wassalam. Selamat menyempurnakan Puasa Enam.

Salam Perjuangan.